Pembangunan pesat di Malaysia mampu untuk membuatkan kita berbangga mengenainya. Ekonomi negara juga kini sedang berkembang pesat dan menjadi semakin stabil tatkala kebanyakan negara lain sedang bergelut dengan prestasi ekonomi mereka yang semakin merudum.
Ketika pasaran global menjadi tidak menentu, pasaran modal di dalam negara dicatatkan pada rekod tertinggi. Dengan FGVH dan IHH Healthcare tersenarai pada kedudukan kedua dan ketiga terbesar di dunia. Kita juga berjaya memperbaiki kedudukan global apabila menduduki tangga ke-15 terbaik dunia dalam pasaran barangan paling berkesan, menduduki tempat ke-26 dari segi pembangunan infrastruktur dan ke-18 sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia.
Kesemua kejayaan kita itu adalah hasil perjuangan para perjuang kemerdekaan negara dan kita patut berterima kasih kepada mereka. Bersama-sama dengan tentera British, mereka berjuang habis-habisan menentang komunis serta gejala ekstremis yang mampu menggugat kehidupan rakyat di negara ini.
Mereka kemudiannya berjaya memerdekakan negara dari cengkaman penjajah yang sekali gus memberi kita kuasa sepenuhnya untuk mengurus sendiri sumber kekayaan negara yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi seperi getah, bijih timah, kelapa sawit dan bjih besi. Komoditi-komoditi ini menjadi sangat penting kepada perkembangan industri eksport negara yang membolehkan kita melabur untuk pembangunan infrastruktur serta industri. Kebanyakan kawasan tempat kita membesar juga dahulunya hanya merupakan pekan-pekan kecil tetapi kini telah menjadi bandar besar.
Pada 1996, pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikan Malaysia sebagai hub pelancongan antarabangsa. Dua tahun kemudiannya, pembinaan Menara Kembar Petronas (KLCC) pula mula menjadi ikon pencakar langit dalam negara dan lebih dari dua dekad selepas itu, bangunan yang menempatkan gedung beli belah popular dan dikenali sebagai Suria KLCC itu masih merupakan menara kembar paling tinggi di dunia.
Tahun demi tahun kita terus membuat pelaburan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Sebagai contoh, adalah kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC) serta pembinaan Lebuhraya Utara Selatan. Dari bidang teknologi hinggalah ke hiburan segala apa yang kita ada hari ini merupakan simbol pembangunan negara dan kita semua patut berbangga dengan kejayaan yang telah telah dikecapi ini.
Dengan kejayaan yang membanggakan ini, ia juga sudah pasti memberi keuntungan kepada negara. Bidang perniagaan mampu untuk menjadi lebih baik kerana kita mementingkan perkembangan teknologi tidak kira sama ada talam talian atau sebaliknya. Bidang pertanian dan komoditi utama juga berkembang dengan pesat selain bidang perlancongan serta perdagangan antarabangsa negara yang juga turut meningkat.
Apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, ia sudah pasti turut memberi impak sosial yang baik. Kualiti pendidikan yang menjadi semakin baik dan mula boleh dinikmati oleh setiap rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Kemudahan sumber elektrik dan air di kawasan pendalaman kini bertambah baik. Dengan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan yang semakin berkembang, rakyat tidak perlu lagi perlu berjalan jauh untuk membeli-belah, membuat pembayaran bil ataupun untuk menonton filem di pawagam.
Bersempena dengan perayaan kemerdekaan ke-55 negara, saya berharap rakyat Malaysia dapat melihat apa yang pernah di alami oleh negara satu ketika dahulu. Banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada apa yang pernah diperjuangkan oleh para perjuang kemerdekaan negara.
Marilah kita sama-sama tidak lupa yang kejayaan kita pada hari ini adalah hasil perpaduan daripada masyarakat Melayu, Cina sera India terdahulu dan tidak ada satu pun bangsa di negara ini yang menyokong perjuangan komunis. Kita juga seharusnya tidak lupa yang kejayaan ini juga adalah hasil perpaduan kita dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak dan Kadazan Dusun. Adalah mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara bersendirian.
Sudah pasti ia didorong oleh kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing di peringkat global. Dengan itu, marilah kita meraikan hari Merdeka tahun ini dengan bersama-sama memperingati jasa pejuang kemerdekaan yang telah memberi kita sebuah negara berdaulat seperti hari ini.
Pada saya, segala-galanya telah dilakukan dalam semangat 1Malaysia hingga ia telah menjadi simbol kepada kejayaan negara hari ini. Tidak kira perbezaan etnik, fahaman agama mahupun bangsa, saya menyeru supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan semangat perpaduan. Ini kerana, dengan hanya melalui perpaduan sahaja seperti semangat 1Malaysia sahaja yang membolehkan negara menjadi semakin baik di masa akan datang.
Ingatlah, selama ini kita telah bersama-sama merempuh segala dugaan dan cabaran bersama sejak 55 tahun lalu. Tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya dari pelbagai etnik untuk bersama-sama menikmati teh tarik di kedai mamak sambil menonton aksi atlit negara di Sukan Olimpik dan meraikan kejayaan negara seperti mana yang kita boleh lihat di negara ini.
No comments:
Post a Comment